Bersuci Pada Kaca Mata Islam
Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai iklan berkaitan kebersihan dan kecantikan yang ditayangkan oleh media massa. Bermula daripada kaedah mencuci tangan sehinggalah kepada cara mendapatkan kulit muka dan badan yang halus serta gebu.
Model-model iklan dengan wajah dan badannya sedia cantik melakukan pelbagai gaya di hadapan kamera untuk menarik pelanggan membeli produk. Maka ramailah orang yang berebut-rebut menghabiskan ratusan bahkan ribuan ringgit untuk mendapatkan hasil yang sama sebagaimana iklan tersebut. Bagi mereka, kulit yang cerah, halus dan gebu itulah kesucian dan kecantikan yang sebenarnya. Hakikatnya yang hitam masih kekal hitam dan yang kusam masih kekal kusam seperti sediakala. Begitulah hebatnya kuasa pengiklanan dalam menjalankan tugas.
Islam Agama Yang Bersih Dan Cantik
Islam amat menitik-beratkan kebersihan. Bahkan Islamlah agama yang paling terperinci dalam perihal bersuci. Allah adalah tuhan yang Maha cantik dan sukakan kecantikan. “Padanya ada orang yang suka sekali bersuci dan Allah mencintai orang yang bersuci itu.” (at-Taubah ayat 109). Namun Islam meletakkan kesucian, kebersihan dan kecantikan pada sudut pandangan yang lebih luas. Bersuci itu bukan sahaja bersih kulit atau pakaian bahkan sehinggalah kepada bersihnya hati daripada perkara selain Allah.
Kebanyakkan orang berpendapat bahawa bersuci hanyalah pada zahirnya sahaja sedangkan jiwanya penuh dengan noda dan dosa. Kita dapat lihat bagaimana umat Islam pada zaman ini lebih banyak menghabiskan masa untuk bersuci dandan berhias anggota zahir tanpa peduli akan batinnya yang penuh dengan kotoran-kotoran daripada sifat mazmumah. Hal ini jauh sekali daripada mencapai hakikat kesucian yang sepatutnya. Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin meletakkan empat perkara bersuci yang sepatutnya dilalui oleh setiap orang yang bergelar Muslim.
*Mensucikan anggota zahir dari najis, hadas dan lebihan pada badan yang tidak diperlukan.
*Mensucikan anggota badan daripada perbuatan salah dan berdosa.
*Mensucikan hati daripada perkara keji dan terkutuk.
*Mensucikan kebatinan daripada perkara selain Allah.
Beliau menegaskan lagi bahawa seseorang hamba Allah perlu melalui peringkat yang paling bawah dahulu sebelum sampai ke tingkat bersuci yang paling tinggi.
Mensucikan Anggota Zahir
Peringkat ini merupakan yang paling asas dalam agama Islam. Tanpa mempelajari kaedah bersuci pada peringkat ini maka ibadah yang kita lakukan akan menjadi tidak sah dan tidak sempurna. Terdapat tiga perkara utama dalam mensucikan anggotazahir iaitu mensucikan diri daripada najis dan hadas serta membuang perkara lebihan yang tidak perlu di badan kita.
Masyarakat kita sememangnya menitikberatkan hal ini. Bahkan ada yang sampai berlebih-lebihan dalam menjaga kesucian anggota zahir. Misalnya, ada dikalangan masyarakat kita yang sampai mewajibkan solat berlapikkan sejadah dan menganggap tidak boleh solat kalau tanpa sejadah. ada juga yang beranggapan beristinjak dengan batu atau benda kesat dianggap tidak bersih dan memandang hina akan perlakuan tersebut. Sebaliknya, hal ini dianggap suci dan dibolehkan di sisi agama Islam.
Walaubagaimana pun hal ini tidak akan dibicarakan kerana tujuan sebenar artikel ini ialah untuk mendedahkan hakikat sebenar bersuci dalam agama Islam.
Penyucian Jiwa Penyucian Sebenar
Antara matlamat utama agama Islam ialah untuk mensucikan jiwa manusia. Mensucikan jiwa manusia ialah antara tujuan utama Rasulullah s.a.w. diutuskan sebagaimana firman Allah : “Dialah yang mengutuskan seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah (sunnah) meskipun sebelumnya mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (al-Jumu’ah ayat 2)
Hati manusia boleh dikotori dengan dosa-dosa dan sifat-sifat mazmumah. Dosa dan sifat mazmumah ibarat najis dan hadas bagi hati dan jiwa kita. Hati yang kotor adalah hati yang tertutup daripada hidayah Allah. Kebersihan hati aan menjamin kebersihan zahir batin manusia. Bahkan hatilah yang merajai anggota lain dan yang akan berada di hadapan ketika melakukan perkara baik atau pun jahat.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”
Mungkin kita pernah terdengar ada orang berhujah bahawa hatinya bersih dan ikhlas walaupun tidak menutup aurat. Hujah sedemikian tidak boleh diterima kerana segala perbuatan mungkar yang dilakukan oleh anggota tubuh sudah tentu berpunca dari hati yang kotor.
Di samping itu, setiap dosa yang dilakukan seudah tentu akan menambahkan tompok hitam pada hatinya. Contohnya dosa membuka aurat, maka setiap harilah hati akan menerima tompokan hitam selagi seseorang insan tidak berhenti dari perlakuan dosa dan bertaubat.
Oleh itu ingatlah segala perbuatan kita amat berkait dengan kebersihan jiwa dan hati nurani.

Related posts:
Short URL: http://www.myxpitstop.com/?p=3132





