Periksa tayar anda!


SEMENJAK penemuan teknologi tayar pnuematik pada awal abad ke-20, getah menjadi satu komoditi penting dunia. Seratus tahun dahulu, tayar dicipta dengan teknologi asas seretan, mengurangkan geseran permukaan agar kenderaan yang bergerak mampu mengimbangi berat badannya dengan geseran yang minimum.

Ia menghasilkan pergerakan yang konsisten, selesa, selamat dan jauh lebih praktikal berbanding mana-mana teknologi yang pernah dicipta sebelum itu.

Syarikat-syarikat tayar seluruh dunia juga telah melaburkan berjuta-juta ringgit membuat kajian kesesuaian tayar sebelum diproduksi. Setiap tayar direka agar mampu menampung sejumlah beban, kelajuan dan had perbatuan.

Apabila teknologi tayar semakin maju, tayar-tayar direka dengan campuran pelbagai bahan, lapisan dan menjalani ujian ketat bagi memastikannya selamat digunakan.

Anda mungkin pernah mengalami masalah kereta yang dipandu tidak selesa, bergegar, tidak selari atau stereng bergetar walaupun sudah menghabiskan wang membuat penjajaran (alignment) tayar, menukar perkakasan ganti lusuh, suspensi dan setiap komponen yang berkaitan. Ia berkemungkinan besar disumbangkan oleh masalah tayar yang tidak bagus.

Tayar botak

Tahap kehausan tayar boleh dilihat dengan mata kasar. Bunga tayar yang semakin licin menunjukkan penggunaan perjalanan yang tinggi. Begitupun, kehausan tayar boleh terjadi atas sebab-sebab lain seperti penyerap hentak yang rosak, penjajaran yang salah, permukaan jalan raya tidak elok dan corak pemanduan yang kasar.

Kerap membrek secara kuat dan pemanduan yang agresif boleh menyebabkan tayar haus secara tidak sekata.

Kehausan juga boleh terjadi secara tidak seimbang. Dalam banyak keadaan, ia terjadi kerana penjajaran. Roda bersaiz besar dan tayar berprofil rendah biasanya berdepan masalah ini. Tayar kebiasaannya haus di satu sisi sahaja.

Ada dua cara yang boleh dibuat. Sama ada menggantikan terus dengan tayar baru atau menukar posisi tayar kepada sudut lain. Bagaimanapun ia bergantung kepada jenis tayar. Ini kerana sesetengah tayar tidak boleh dipasangkan pada sudut songsang.

Tayar yang botak secara sekata pula adalah normal. Ia bergantung kepada jenis pacuan kenderaan. Kereta pacuan hadapan akan mengalami kehausan tayar hadapan dalam kadar lebih cepat. Dalam industri, tiada ketetapan yang khusus tentang kaedah rotasi tayar.

Ada yang mencadangkan perbatuan 10,000 kilometer (km), malah ada yang mencecah 20,000 kilometer. Rotasi tayar perlu dibuat dengan betul. Tayar hadapan kanan perlu ditukar dengan tayar belakang kiri dan begitulah sebaliknya.





Memilih tayar

Pilih tayar yang sesuai dengan spesifikasi kenderaan seperti dicadangkan oleh pengeluar. Jenis dan jenama tayar pula bergantung kepada kesesuaian bajet. Sudah tentu, tayar mahal memiliki kualiti yang lebih baik.

Jika anda tidak kisah dengan kos, biasakan diri dengan tayar premium kerana bahan sintetik dalam penghasilan tayar sebegini sangat bagus. Apatah lagi jika dinilai kepada keadaan jalan raya dan permukaan jalan yang tidak rata di Malaysia.

Jangan lupa periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Tekanan tayar boleh dilihat pada pelekat yang lazimnya diletakkan di bahagian pintu pemandu sebagai rujukan. Jangan pam tayar lebih tinggi daripada had yang disyorkan. Jangan pula biarkan tekanan angin tayar berada di bawah paras yang dicadangkan.

Kenderaan seperti MPV pula lazimnya memiliki tekanan berbeza mengikut jumlah penumpang. Ia juga dinyatakan dalam spesifikasi kenderaan. Bergantung kepada jumlah penumpang, tekanan tayar perlu disesuaikan mengikut situasi. Kenderaan lain seperti pacuan empat roda, kereta kompak dan kenderaan komersial yang berat juga memiliki tekanan khusus yang perlu dipatuhi.



Fakta penting

  1. Jangan gunakan tayar yang telah tamat tempoh. Semak catatan produksi tayar.
  2. Jangan pakai tayar korek. Tahap kakisan tayar ini telah melebihi had rekaan pengeluar.
  3. Jangan gunakan tayar berlainan model pada setiap sisi.
  4. Pastikan ukuran tayar tidak melebihi had pengeluar.
  5. Roda yang terlalu besar menyebabkan keupayaan berhenti menjadi rendah.
  6. Rim yang rosak pada bahagian sisinya boleh menyebabkan kebocoran angin secara perlahan. Bukan disebabkan tayar terkena objek tajam.
  7. Jangan memandu laju ketika hujan dengan tayar yang sudah haus. Ia boleh menyebabkan berlakunya aquaplaning, situasi apabila lapisan air di atas jalan raya lebih ‘tebal’ berbanding bunga tayar. Ia akan membuatkan tayar ‘terapung’, hilang cengkaman serta kenderaan tidak dapat dikawal oleh pemandu.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>