Teknologi cegah bunuh diri | myXpitstop

Teknologi cegah bunuh diri

Penahanan bekas Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pembantu hotel memang mengejutkan, namun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Sebelum ini, dunia kerap dipaparkan dengan berita mengenai individu berjawatan tinggi, termasuk pemimpin negara yang terlibat dengan skandal seks.

Namun sesuatu yang menarik perhatian dalam kes Strauss-Kahn adalah apabila beliau diletakkan di bawah suicide watch (pengawasan terhadap kemungkinan bunuh diri) semasa di penjara.

Strauss-Kahn yang hanya beberapa hari sebelum itu menginap di hotel di New York, ditempatkan disebuah bilik penjara kecil berukuran 3.3 x 3.9 meter di bawah pemantauan pengawal penjara sebelum beliau dibebaskan dengan ikat jamin ASD1 juta (RM3 juta).

Paling menarik, Strauss-Kahn diarah memakai baju khas bagi menghalangnya daripada membunuh diri.

Tentunya arahan itu logik kerana seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi seperti Strauss-Kahn lebih cenderung membunuh diri jika tidak dapat menerima kenyataan selepas didakwa atas tuduhan memalukan itu.

Jadi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan suicide watch dan apa jenis teknologi yang digunakan bagi pemantauan ini?


Bilik kalis bunuh diri

Suicide watch sebenarnya adalah proses berteknologi rendah yang direka untuk menghalang banduan daripada menggantung diri, iaitu cara membunuh diri yang kerap berlaku di penjara dan hospital.

Seseorang banduang yang berada di bawah suicide watch akan diletakkan di dalam bilik pemerhatian yang boleh dilihat dari luar dan dijauhkan daripada sebarang objek berbahaya termasuk tali kasut, tali pinggang dan cadar tilam.

Ini bermakna balik pemerhatian hanya mempunyai tila di lantai dan tidak akan mempunyai walau sehelai kain kerana dikhuatiri dijadikan sebagai tali gantung oleh banduan.

Jika banduan dapat menemui sesuatu yang boleh digunakan sebagai tali gantung, mereka tetap memerlukan tempat untuk menggantungkan tali terbabit.

Itulah sebabnya bilik pemerhatian direka tanpa sebarang benda yang terjojol dari siling, dinding atau perabot.

Kebanyakan bilik pemerhatian turut mempunyai kamera pemantauan 24 jam namun pegawai penjara tetap melalukan pemeriksaan rutin setiap 30 atau 15 minit, bergantung kepada tahap risiko banduan.

Kadang-kala banduan lain diarah melakukan pemeriksaan ke atas individu yang berada di bawah suicide watch kerana kajian menunjukkan penggunaan banduan untuk menenangkan banduan lain lebih berkesan daripada menggunakan pegawai penjara.

Baju kura-kura

Baju anti-bunuh diri, atau digelar baju kura-kura, adalah pakaian luar kalis koyak yang digunakan untuk menghalang banduan daripada menghasilkan tali gantung menggunakan pakaian mereka.

Pakaian unik itu pertama kali digunakan di penjara Santa Cruz, Carlifornia di Amerika Syarikat pada 1980-an dan mula dihasilkan secara besar-besaran sejak 1989.

Baju gaun ringkas itu dijahit teguh tanpa kolar. dengan lengan yang boleh dilaraskan pada bahagian bahu dan depan tanpa menghadkan pergerakan pemakai.

Diperbuat daripada Cordura, bahan tahan lasak yang 10 kali lebih keras daripada seluar jeans, adalah mustahil banduan menggulung atau melipat pakaian itu untuk dijadikan tali gantung.

Pihak berkuasa menyedari kadang-kala, banduan yang terdesak boleh menjadi kreatif dan mungkin cuba membakar pakaian mereka atau menggunakan besi untuk mencederakan diri.

Namun, baju kalis bunuh diri itu terlalu besar dan keras menyebabkan api terpadam dengan cepat sebelum sempat merebak.

Jika banduan berjaya mencederakan diri, pegawai perubatan dapat membuka baju itu dengan mudah kerana ia tidak menggunakan zip sebaliknya hanya pelekat di bahagian bahu dan depan.

Selain itu, baju terbabit kebanyakkannya diperbuat menggunakan bahan berwarna biru dan hijau.

Ini kerana, menurut kajian sains, kedua-dua warna itu dapat membantu menenangkan minda dan warna terang seperti kuning hanya meresahkan banduan serta mengganggu tidur mereka pada waktu malam.

Bahan sama digunakan untuk menghasilkan tilam yang diletakkan di dalam bilik banduan yang berada di bawah suicide watch.

Teknologi mudah ini bukan sahaja dapat menghalang banduan membunuh diri tetapi mengelakkan kritikan atau saman terhadap penjara dan pusat tahanan, dan mungkin agensi yang sedang menjalankan siasatan.

Related posts:

The Japanese Invasion of Malaya
Fire tornado on Hawaii's Big Island
Nicola Bolla - AK 47 Rifles and Skulls in Swarovski crystals

Short URL: http://www.myxpitstop.com/?p=3694

Posted by on Jun 5 2011. Filed under Info. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can skip to the end and leave a response. Pinging is currently not allowed.

Leave a Reply

*

Photo Gallery

Log in | News & Info by myXcrew